Terbongkar sudah rahsia yang cuba dipertahankan pasangan pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, selama ini. Bangkai gajah yang cuba ditutup mereka dengan nyiru itu tetap mengeluarkan bau dan akhirnya diketahui ramai.
Selepas hampir seminggu berdiam diri, berdolak dalik dan mengelak daripada menjelaskan persoalan berkenaan cerita pernikahan rahsia mereka dan sudah mempunyai bayi lelaki seperti yang didedahkan akhbar sisipan B*POP 6 Oktober lalu, akhirnya Jumaat lalu, di hadapan sekumpulan media mereka mengaku apa yang dipaparkan adalah benar.
“Memang sejak awal lagi kami ingin merahsiakan perkara ini dan akan hanya mengumumkannya apabila tiba waktu yang sesuai. Bagaimanapun, ada pihak yang tidak puas hati dan sengaja mendedahkan perkara ini lebih awal sehingga kami terpaksa membuat penjelasan pada hari ini. Lagipun, ini adalah hal peribadi kami, terpulanglah sama ada kami mahu mengaku atau tidak. Kenapa nak korek cerita peribadi kami?” rungut Aeril yang seakan tidak puas hati dengan situasi berlaku ketika itu.
Kata jejaka berusia 26 tahun ini, dia mempunyai alasan kukuh untuk merahsiakan perkara itu walaupun terpaksa berdepan dengan tuduhan menipu.